Saturday, October 9, 2010

Pelajaran 1: Hidayah Sumber Kebahgiaan

Pengertian Hidayah dan Rahmat.
Hidayah dari segi bahasa ialah petunjuk. Dari segi istilah ialah petunjuk Allah kearah kebenaran. Orang yang mendapat petunjuk Allah ialah orang yang paling beruntung. Firman Allah yang bermaksud:
  
  Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediannya) maka dialah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang yang rugi. (Al-A'raf, ayat 178)

   Rahmat dari segi bahasa ialah belas kasihan. Dari segi istilah ialah segala kebaikan Allah kurniakan kepada manusia seperti tubuh badan yang sihat, minda yang cerdas dan jiwa yang bersih. Cara-cara untuk mengekalkan hidayah Allah ialah:
a) Mensyukuri nikmat Allah
b) Yakin kepada kebenaran Aqidah
c) Berakhlak mulia dalam kehidupan
d) Bersungguh-sungguh menimba ilmu
e) Berdoa memohon pertolongan Allah
f) Memelihara hubungan baik antara makhluk
g) Melaksanakan tanggungjawab Amar Ma'ruf Nahi Munkar
h) Mempertingkatkan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran

Kelebihan Mendapat Hidayah
Orang yang mendapat hidayah sentiasa mendapat keredaan dan kebahagian hidup, manakala orang yang tidak mendapat hidayah akan hidup dalam kesesatan dan kebatilan. Firman Allah yang bermaksud:

   Sesiapa yang beroleh hidayah (dengan mengikut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kami tidak akan mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutus sseorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Al-Isra', ayat 15)

Ciri-ciri orang yang mendapat hidayah:
a) Tabah dan sabar menghadapi cabaran hidup.
b) Berfikiran terbuka dan berpandangan jauh.
c) Senang menerima kebenaran.
d) Hidup dalam keadaan tenang dan gembira.
e) Mudah melakukan kebaikan.

Akibat tidak mendapat hidayah:
a) Mudah kecewa apabila menghadap kegagalan.
b) Berfikiran sempit dan bertindak melulu.
c) Susah menerima kebenaran.
d) Hidup dalam keadaan keluh kesah.
e) Sukar melakukan kebaikan.

Perkara Yang Menghalang Hidayah Allah
Antaranya ialah:
a) Meninggalkan ibadah-ibadah wajib seperti solat lima waktu dan puasa ramadhan.
b) Melakukan maksiat seperti minum arak dan berjudi.
c) Memiliki sifat mazmumah (tidak baik) seperti tamak, ria', tidak ikhlas dan bangga diri.
d) Tidak menghormati Ibubapa dan guru.